Etika penulisan blog.
Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor & Normaliza
Abd Rahim (2019) di dalam buku Eh!!! Media Sosial, etika penulisan blog mempunyai 10 cara etika menulis blog dengan baik. Antara 10 cara menulis blog dengan baik ialah :
1. Tajuk yang menarik yang boleh menarik perhatian pembaca.
Pemilihan tajuk yang mudah dibaca dan menarik akan membuatkan sesuatu penulisan itu kelihatan luar biasa dan akan dapat menarik pembaca untuk melayari laman blog kita. Pembaca akan tertarik dengan tajuk yang lain daripada yang lain. Jika kita memilih tajuk yang susah untuk dibaca dan disebut, pembaca akan hilang minat dan seterusnya akan beralih ke laman blog yang lain.
2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.
Di dalam penulisan, penceritaan merupakan faktor kedua yang perlu diberi penekanan untuk menarik pembaca ke dalam laman blog kita. Penceritaan yang mempunyai fakta, huraian dan contoh merupakan salah satu cara penulisan penceritaan yang baik. Penjelasan yang mempunya 3 elemen tersebut akan membuatkan pembaca lebih faham dan lebih jelas dengan jalan penceritaan kita.
3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.
Penceritaan yang mempunyai unsur kelakar akan membuat jalan cerita itu kelihatan lagi menarik dan pembaca juga akan terhibur ketika membaca penulisan kita. Apabila pembaca terhibur dengan penulisan kita, ia dapat menghilangkan rasa tertekan pembaca dan dapat menenangkan pemikiran pembaca buat seketika jika pada ketika itu, pembaca berada di dalam keadaan yang tidak tenang.
4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan anda.
Hujah yang terbaik dan tepat mestilah mempunyai fakta yang betul, huraian yang tepat dengan fakta tersebut serta contoh yang mantap akan dapat menjadikan jalan cerita itu kukuh dengan isinya. jika kita memberikan fakta yang salah ketika kita menerangkan sesuatu cerita tersebut, implikasinya akan terjadi kepada pembaca kerana kita telah memberikan fakta yang salah dan pembaca juga akan faham dengan info yang salah.
5. Kaitkan penulisan anda dengan berita terkini untuk menghuraikan penulisan anda.
Terdapat segelintir pembaca yang tidak gemar dengan berita-berita yang sudah lapuk ataupun yang sudah lama. Pembaca akan menganggap berita yang lama tersebut sebagai berita yang sudah tidak releven lagi. Berita terkini akan membuatkan pembaca mempunyai sifat ingin tahu yang membuak-buak untuk membaca dan mencari berita tersebut. Hal ini akan membuatkan, jumlah pembaca di blog kita akan meningkat secara mendadak kerana kita menulis tentang berita terkini dan semasa.
6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.
Penggunaan struktur ayat yang mudah dan ringkas akan membuatkan pembaca tertarik untuk membaca blog kita. Struktur ayat yang berbelit-belit dan berulang-ulang akan membuatkan pembaca bosan dan muak untuk membaca jalan penceritaan kita di blog. Penyusunan ayat yang cantik dan teratur akan membuatkan hasil penulisan kita menarik dan jelas jalan penceritaannya.
7. Dapat dibaca dan difahami.
Penulisan yang baik adalah penulisan yang tidak mencampur adukkan penggunaan bahasanya. Contohnya seperti mencampurkan bahan penulisan tersebut dengan huraian daripada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perbuatan penulisan seperti ini bukan sahaja akan membuatkan penulisan itu susah untuk dibaca, malahan pula ia akan merosakkan bahasa kebangsaan kita jika kita sering kali mencampur adukkan penggunaan bahasa tersebut.
8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.
Penulisan di dalam blog bukan sahaja dapat memberikan info kepada pembaca, tetapi ia juga dapat membuatkan penulis berkomunikasi dengan pembaca. Terdapat ruangan komen di dalam blog tersebut direkakan supaya pembaca dapat memberikan pandangan kepada penulis sama ada untuk menambah baikkan lagi blog penulis atau pembaca ingin bertanya kepada penulis tentang ketidakfahamnya.
9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan anda.
Penambahan unsur moral dan nilai estetika dalam penulisan kita akan dapat mengangkat bahan penulisan kita itu ke tahap yang lebih baik. Unsur-unsur yang positif di dalam bahan penulisan akan menjadikan bahan penulisan kita itu memberikan tauladan dan teladan kepada pembaca. Seterusnya, unsur moral tersebut juga akan membuatkan pembaca mengikut dan mengamalkan sifat-sifat yang baik di dalam diri mereka.
10. Berilmu untuk penulisan pendidikan.
Bahan bacaan yang berilmu dan berilmiah akan menjadikan pembaca bersemangat untuk membaca hasil penulisan kita di blog. Jika kita hanya tulis kosong tanpa ada isi yang bermanfaat, pembaca tidak akan membaca hasil cerita kita kerana pembaca akan merasakan ianya tidak bermanfaat untuk dibaca dan difahamkan. Oleh itu, pentingnya jika kita menulis sesuatu itu dengan berilmu dan tidak hanya tulis kosong sahaja.
No comments:
Post a Comment